Charles Santiago |
Kerajaan Pusat Tidak Bantu Selangor Percepat Selesai Isu Air Posted: 02 Jul 2011 06:00 PM PDT Source: Selangorkini
Friday, 27 May 2011 | Ruangan: Berita SHAH ALAM 27 Mei - Tindakan kerajaan pusat menolak cadangan Kerajaan Selangor mengenai idea penstrukturan semula air di negeri ini menyukarkan penyelesaian proses itu dilakukan. Hal ini kerana, tindakan kerajaan Pusat yang enggan menimbang sebaik mungkin tawaran yang diberikan kerajaan negeri yang menyebabkan isu ini masih berlarutan sehingga sekarang, kata ahli parlimen Klang, Charles Santiago. " Apa yang lebih malang ialah, kerajaan Persekutuan pun tidak ada apa-apa cadangan yang baru, pandangan mereka ialah untuk tidak lakukan apa-apa perubahan mengenai cara untuk menguruskan, yang pasti mereka takut untuk cakap dengan terus terang, oleh kerana itu apa-apa cadangan yang dibentangkan kerajaan negeri ditolak dalam mesyuarat," kata Charles. Media hari ini melaporkan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui berkata, kerajaan Selangor gagal menyusun langkah sesuai untuk mengatasi masalah ini sehingga mengakibatkan kerajaan Pusat terpaksa masuk campur. Bagaimanapun, menurut Charles, kenyataan menteri itu amat tidak bertanggungjawab memandangkan umum mengetahui kerajaan negeri beberapa kali membentangkan tawaran kepada empat syarikat konsesi di negeri ini namun "diganggu" oleh kerajaan Pusat. "Apa yang dikatakan oleh Datuk Peter itu memang tidak patut dan tidak bertanggungjawab sebab kita telah lakukan banyak cadangan tetapi ditolak dan perkara ini membuatkan ia berlarutan dalam jangka masa yang lama,"katanya. Charles menyatakan kerajaan Selangor menyedari kebimbangan pemegang- pemegang bon air susulan laporan bahawa bon mungkin menghadapi penurunan rating sekiranya perbincangan penyusunan semula industri air tidak diselesaikan. Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yakin dapat menyelesaikan isu dengan kerajaan Persekutuan bagi menyusun semula perkhidmatan air seperti yang diperuntukkan bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA). Malangnya, kerajaan Pusat pula tekad mengambil alih bon air dari kerajaan Selangor atas alasan menstabilkan industri air Selangor. Justeru menurut Charles, Selangor perlu diberi hak dan ruang dalam menyelesaikan masalah ini. "Kalau Peter Chin tidak mampu uruskan biar kerajaan negeri uruskan, dan kini dia bagi pembelaan kepada pemegang bon dan jelas tindakan ini tidak masuk akal, ini menunjukkan keadaan sedia ada iaitu menggunakan pihak swasta menguruskan air (yang terbukti) telah gagal,"katanya lagi. DAP hari ini mendedahkan, kerajaan membayar 73% lebih tinggi daripada nilai pasaran walaupun sepatutnya baki bon tersebut harus diselesaikan oleh pemegang saham syarikat terbabit. Untuk rekod, kerajaan Persekutuan telah memberi lampu hijau kepada Kerajaan Selangor pada Januari 2008 untuk menyatukan pemegang konsesi air ini di bawah syarikat milik penuh Kerajaan Selangor, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB). Selepas Pakatan Rakyat memerintah pada Mac 2008, Menteri Besar memutuskan untuk menstruktur semula industri air dengan menawarkan pampasan kepada pemegang konsesi sebanyak RM5.7 billion. Pemegang konsesi menolak tawaran ini kerana mendakwa jumlahnya tidak cukup untuk menampung hutang-hutang yang ditanggung syarikat konsesi yang berjumlah RM6.4 billion. Selepas semakan semula empat bulan kemudian, Kerajaan Selangor menawarkan pampasan sebanyak RM9.3 billion dan tawaran ini diterima konsesi SPLASH dan ABBAS. Pada Mac 2010, kerajaan persekutuan membuat tawaran kepada pemegang konsesi berjumlah RM10.3 billion tetapi ditolak oleh Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS). Pada Januari 2011, Kerajaan Selangor sekali lagi membuat tawaran pengambilalihan termasuk menawarkan arbitrasi antarabangsa (International Arbitration) dalam memastikan pengambilalihan dilaksanakan dengan integriti dan adil kepada semua pemegang konsesi. |
You are subscribed to email updates from Charles Santiago To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan