Khamis, 31 Mac 2011

Lim Lip Eng

Lim Lip Eng


Jurugambar ditikam kesal tiada tindakan polis

Posted: 31 Mar 2011 03:23 AM PDT


Source: http://www.freemalaysiatoday.com/2011/03/31/jurugambar-ditikam-kesal-tiada-tindakan-polis/ (Jamilah Kamarudin, 31/3/2011)


Tindakan seorang jurugambar yang pergi menuntut baki bayaran di rumah pelanggannya membawa padah apabila ditikam dan dikelar di beberapa bahagian badannya pada 6 Mac lalu.


Lee Poh Chai, 37, yang juga pemilik kedai gambar di Jalan Ipoh, di sini, ditikam dengan pisau pemotong kertas dibahagian lengan dan pinggang kanannya selepas pelanggannya itu enggan membayar bayaran album gambar ulang tahun kelahiran anak lelakinya yang pertama berbaki sejumlah RM 462.


"Pada 20 November tahun lalu, lelaki itu datang ke kedai saya dan mahu gambar anaknya diambil dalam studio untuk dimuatkan dalam album. "Lelaki itu yang berpuas hati dengan hasil kerja saya membayar wang pendahuluan RM50 daripada jumlah RM512 yang dikenakan dan menyuruh saya datang ke rumahnya di Pandan Perdana untuk mengambil baki bayaran. "Seminggu kemudian saya datang kerumahnya dan beliau menjelaskan bayaran tersebut melalui sekeping cek," katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat DAP Segambut di sini hari ini. Namun Lee mendapati dirinya ditipu apabila pihak bank menghubunginya memberitahu bahawa cek yang digunakan itu cek tendang dan bukan milik pelanggan tersebut. Pelangganya itu yang mengakui kesilapan tersebut selepas dihubungi Lee pada mulanya berjanji akan menjelaskan bayaran akhir dengan meminta nombor akaun Lee, tetapi menukar fikiran beberapa hari kemudian dan enggan membayarnya atas alasan tidak berpuas hati dengan hasil kerja Lee. Setelah beberapa kali cuba menghubungi dan menuntut bayaran, Lee akhirnya mengambil keputusan pergi ke rumah pelanggannya itu pada hari kejadian. "Beliau yang berang melihat kehadiran saya di perkarangan rumahnya terus mencapai pisau pemotong kertas dalam keretanya lalu menikam dan mencederakan saya," katanya.


Beliau yang cedera sehingga menerima jahitan kira-kira 25 jahitan kemudiannya membuat laporan di balai polis Pandan Indah pada keesokan harinya. Namun Lee mendakwa setelah hampir sebulan berlalu, sehingga kini masih belum ada apa-apa siasatan dijalankan malah tiada seorang pun pegawai polis yang datang mengambil keterangannya. "Saya mengenali wajah dan tahu alamat rumah lelaki itu. Tapi saya kesal kenapa masih tiada tindakan mahupun tangkapan dikenakan terhadap individu yang mencederakan saya,."Saya takut jika lelaki itu sekali lagi datang dan menyerang saya atau mengapa-apakan kedai saya jika tiada jaminan daripada polis," katanya.


Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng mempersoalkan tindakan polis walaupun situasi yang dihadapi Lee merupakan satu kes jenayah berat. "Mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan sesiapa yang menembak, menikam, atau memotong dengan apa-apa senjata dengan niat mahu membunuh akan dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda, atau sebatan. "Tetapi saya dapati dalam laporan Lee ini tertera cop bahawa ia hanya sah untuk kegunaan tuntutan sivil dan bukannya jenayah, mungkin ini yang menjadi masalah," katanya.

Sehubungan itu, Lim berkata pihaknya telah menulis surat kepada Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada 17 Mac lalu bagi meminta penjelasan namun tiada respon. "Saya kesal dengan pengurusan polis yang boleh membiarkan kes jenayah ini berlaku…saya mungkin akan panjangkan perkara ini kepada Ketua Polis Negara nanti," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan