Isnin, 21 Mac 2011

Lim Guan Eng

Lim Guan Eng


Surat Kepada Peter Chin Fah Kui (Isu Loji Nuklear)

Posted: 20 Mar 2011 06:29 PM PDT

21 Mac 2011

Y.B. DATO’ SRI PETER CHIN FAH KUI
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air,
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air,
Aras 6, Blok E4/5, Parcel E,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62668 PUTRAJAYA.

Yang Berhomat Dato’ Sri,

MERAYU RANCANGAN PEMBINAAN LOJI NUKLEAR UNTUK PENJANAAN TENAGA ELEKTRIK DIBATALKAN

Dengan segala hormatnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin merakamkan pendirian tidak bersetuju kami terhadap rancangan Kerajaan Persekutuan untuk membina loji nuklear di negara kita.

2. Adalah juga dimaklumkan bahawa Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang sudahpun memutuskan untuk tidak membenarkan sama sekali pembinaan loji nuklear di mana-mana kawasan dalam negeri Pulau Pinang.

3. Memandangkan negara Jepun yang memiliki kepakaran dan tahap teknologi yang sangat maju dan progresif kini dihadapi dengan krisis nuklear yang paling serius dalam sejarah dunia sejak bencana Chernobyl 25 tahun lalu, adalah perlu rancangan ini dibatalkan. Perlu diambil perhatian, tahap kawalan teknologi fusion nuklear di negara kita adalah terhad berbanding dengan kepakaran Negara Jepun. Lagipun negara-negara maju dan berteknologi tinggi seperti Jerman dan ekonomi kedua besar dunia negara China telahpun membatalkan rancangan membina loji nuclear dalam negara mereka masing-masing. Keselamatan rakyat Malaysia harus diutamakan dan risiko tinggi ini tidak harus diperjudikan.

4. Sehubungan dengan itu, kami juga tidak yakin dengan rekod prestasi yang kurang memuaskan oleh sesetengah projek Kerajaan Persekutuan yang dijalankan seperti ada bumbung yang bukan sahaja bocor tetapi juga runtuh. Sekiranya bumbung stadium, sekolah dan terminal bas pun boleh runtuh bagaimana kita boleh yakin tentang keselamatan dan kekukuhan sesuatu loji nuklear yang berisiko tinggi dan bahaya?

5. Kami merayu kepada Kerajaan Persekutuan agar menolak cadangan membina loji nuklear sebagai sumber tenaga alternatif di Malaysia. Terdapat pelbagai sumber tenaga alternatif yang lain yang boleh diterokai.

Sekian,

"CEKAP, AKAUNTABILITI DAN TELUS"
"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

Yang ikhlas,

(Lim Guan Eng)
Ketua Menteri Pulau Pinang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan