Pengikut

Lim Guan Eng

Posted by : Admin Direktori Blog | Selasa, 30 November 2010 | Published in

sumber :-

Lim Guan Eng


Teks Ucapan Lim Guan Eng di MPSP

Posted: 29 Nov 2010 08:11 PM PST

TEKS UCAPAN YAB LIM GUAN ENG, KETUA MENTERI PULAU PINANG DI MAJLIS ANGKAT SUMPAH PEMANGKU YANG DIPERTUA MAJLIS PERBANDARAN SEBERANG PERAI 30 NOVEMBER 2010 (SELASA), JAM 9.00 PAGI DI DEWAN KENANGA, MPSP

Selamat pagi dan salam sejahtera.

1. Pertama sekali bersyukur kepada tuhan kerana memberi kita semua kesihatan dan juga kekuatan untuk sama-sama menghadiri Majlis Angkat Sumpah Pemangku Yang Dipertua MPSP di Dewan Kenanga, MPSP hari ini.

2. Setinggi- tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih ditujukan khusus kepada Pengerusi MMK Kerajaan Tempatan dan Lalulintas, YB Tuan Chow Kon Yeow yang menjalankan tugas berat ke atas pihak berkuasa tempatan dan juga kepada pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai yang menjayakan Majlis Angkat Sumpah pada pagi ini.

3. Syabas dan tahniah diucapkan kepada Pegawai Kewangan Negeri Yang Berhormat Dato' Hj. Farizan bin Darus yang dilantik untuk memangku jawatan Yang DiPertua MPSP. YDP sekarang, Tuan Haji Moktar bin Jait kini mengikuti Kursus Kepimpinan Dan Pengurusan Utama (ALMP) Siri 31 Bil.5 Tahun 2010 selama lebih kurang sebulan. Dengan kembalinya Dato' Farizan ke MPSP adalah bagai sirih pulang ke gagang. Sudah tidak asing lagi bagi beliau untuk teruskan khidmat cemerlang beliau di MPSP.

4. Masalah utama MPSP adalah keadaan kewangan yang kurang sihat kini kian diperbaiki. Ketua Audit Negara telah memperakui Penyata Kewangan Majlis bagi tahun berakhir 31 Disember 2009 dan memberikan sijil bersih.

5. Perkembangan kewangan positif MPSP berterusan iaitu sehingga 30 September tahun ini, kutipan hasil Majlis adalah berjumlah RM141.9 juta. Ianya terdiri daripada hasil cukai berjumlah RM113.56 juta (termasuk RM11.86 juta hasil tahun ini yang dikutip pada akhir tahun 2009), hasil bukan cukai RM23.3 juta dan terimaan bukan hasil berjumlah RM5.09 juta. Secara perbandingan hasil Majlis meningkat sebanyak RM6.3 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu sebanyak RM135.59 juta.

6. Prestasi kewangan baik adalah disebabkan prinsip CAT, tender terbuka dan konsep perbelanjaan berhemah membolehkan lebihan pendapatan dicapai dan adalah diharapkan MPSP dapat mengekalkan prestasi kewangannya seperti tahun lalu.

7. Dari segi aliran keluar dana, sehingga 30 September tahun ini, perbelanjaan yang telah dibuat oleh Majlis adalah berjumlah RM88.72 juta. Perbelanjaan ini terdiri daripada bayaran emolumen sebanyak RM34.86 juta, belanja mengurus RM53.84 juta dan belanja pembangunan sebanyak RM0.02 juta. Secara perbandingan perbelanjaan Majlis menurun sebanyak RM4.49 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Pada tempoh yang sama tahun lalu perbelanjaan Majlis adalah sebanyak RM93.22 juta.

8. Berdasarkan pendapatan dan perbelanjaan sehingga suku ketiga tahun ini, Majlis masih mempunyai lebihan pendapatan atau "surplus" sebanyak RM53.17 juta. Walau bagaimanapun, tanggungan perbelanjaan Majlis yang perlu dijelaskan dalam tahun ini adalah berjumlah RM37.83 juta (termasuk tanggungan emolumen sebanyak RM14.53 juta). Setelah diambilkira keseluruhan perbelanjaan dan tanggungan, Majlis masih mempunyai lebihan pendapatan sebanyak RM15.34 juta.

9. Berhubung dengan kutipan tunggakan kadar taksiran, sehingga suku ketiga tahun ini, kutipan yang telah berjaya dikutip adalah berjumlah RM11.40 juta. Jumlah ini mewakili 25% daripada nilai keseluruhan tunggakan Majlis.

10. Majlis telah merangka beberapa langkah dan strategi bagi menangani isu tunggakan cukai antaranya dengan melantik tujuh (7) panel peguam bagi membawa kes-kes pemilik tegar ke mahkamah, melantik lima (5) buah syarikat pemungut hutang profesional dan penubuhan pasukan khas pemungut hutang yang terdiri daripada kakitangan Majlis sendiri daripada pelbagai jabatan. Majlis juga telah menubuhkan Jawatankuasa Tunggakan Hasil Majlis yang bermesyuarat secara tetap bagi membincangkan isu-isu serta langkah-langkah berkesan dalam mengutip tunggakan cukai. Majlis juga sedang memperhebatkan operasi penyerahan waran tahanan dari semasa ke semasa dan juga operasi sitaan harta alih pemilik premis yang masih gagal menjelaskan tunggakan masing-masing.

11. Bagi pemilik premis yang masih gagal menjelaskan tunggakan mereka selepas sitaan dibuat, Majlis akan melelong harta alih tersebut bagi menjelaskan jumlah tunggakan yang ada. Sehingga kini beberapa siri lelongan telah dibuat ke atas harta alih yang disita daripada pemilik premis.

12. Hasil kedua terbesar yang menyumbang kepada pendapatan Majlis selepas hasil cukai adalah daripada aktiviti kelulusan lesen dan permit. Hasil daripada lesen dan permit sehingga 30 September 2010 adalah berjumlah RM7.56 juta. Hasil lesen dan permit menunjukkan peningkatan sebanyak RM0.85 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu sebanyak RM6.71 juta sungguhpun diskaun 50% diberikan kepada lesen penjaja. Diskaun 50% akan tetap diberikan tahun depan.

13. Di dalam Program Transformasi MPSP, Jabatan Pelesenan telah melakukan " Business Process Reengineering" (BPR) iaitu bagi mempercepatkan kelulusan lesen perniagaan. Melalui BPR ini, lesen penjaja dan lesen am dikeluarkan pada hari yang sama apabila permohonan lengkap diterima berbanding tempoh 25 hari diperlukan sebelum ini. Bagi permohonan ruang niaga, keputusan temuduga dihantar melalui sistem pesanan ringkas (sms) kepada pemohon yang berjaya selepas temuduga dan surat tawaran dikeluarkan dua (2) hari selepas temuduga. Sebelum BPR dijalankan, surat makluman dan tawaran diberi selepas dua (2) minggu hingga sebulan selepas temuduga dijalankan.

14. Sebagai kemuncak dan bukti kejayaan MPSP, MPSP telah memenangi tiga anugerah di peringkat negeri iaitu Johan Anugerah Kualiti Sektor Awam peringkat Negeri Pulau Pinang bagi kategori Anugerah Pengurusan Kewangan Terbaik, Naib Johan bagi Kategori Anugerah Perkhidmatan Kaunter Berkualiti dan Naib Johan Anugerah Laman Web Terbaik. Saya amat berbangga kerana semua ini adalah hasil daripada usaha dan kerjasama semua kakitangan, pegawai dan Ahli Majlis yang sentiasa memberi pandangan ke arah penambahbaikan kualiti perkhidmatan MPSP. Syabas dan tahniah!

15. Sebelum Kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Negeri Pulau Pinang, MPSP telah mengalami kerugian dan defisit yang teruk iaitu sebanyak RM230 juta dalam tempoh 8 tahun, dari tahun 2000 hingga 2007. Sehingga kini kerajaan terdahulu masih gagal untuk menjelaskan perkara tersebut. Hanya bila kerajaan negeri PR memerintah barulah defisit ditukar menjadi lebihan buat kali pertamanya pada 2008.

16. Bagi menyelesaikan masalah yang ditinggalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional, Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat telah memberikan pinjaman kewangan sebanyak RM10 juta kepada MPSP sebagai langkah mengurangkan tunggakkan pinjaman dari luar dan membolehkan MPSP bangkit semula melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

17. Di dalam laporan Ketua Audit Negara yang telah dibentangkan di Parlimen pada 25 Oktober 2010 yang lalu, masalah pencemaran akibat penggunaan lori terbuka untuk mengangkut sisa pepejal domestik oleh MPSP telah dibangkitkan. Kerajaan Negeri mahupun MPSP sememangnya memandang serius tentang teguran Ketua Audit Negara ini. Di sini, saya ingin mengulas sedikit sebanyak usaha Kerajaan Negeri dalam menangani masalah tersebut. Jauh sebelum mendapat teguran daripada Ketua Audit Negara, Kerajaan Negeri sememangnya peka terhadap masalah ini dan pada awal tahun ini telah membantu meringankan beban MPSP dengan meluluskan pembelian 5 buah lori 'compacter' yang bernilai RM1.3 juta bagi menggantikan lori terbuka. Namun, dana yang kita ada setakat ini adalah terhad disebabkan oleh penyelewengan semasa pentadbiran lepas yang telah membawa kerugian teruk kepada akaun Kerajaan. Pada masa itu, itulah yang termampu dibuat oleh Kerajaan Negeri.

18. Selain daripada lori terbuka, teguran juga telah diterima berkenaan bayaran terlebih yang telah dibayar kepada kontraktor bagi perkhidmatan pemindahan sisa pepejal sebanyak RM222,880 dari tempoh Januari 2008 hingga September 2009. Ini adalah disebabkan terdapatnya perbezaan dari segi berat bagi sisa pepejal yang ditimbang di Ampang Jajar dan di Pulau Burung. Bayaran pemindahan sisa pepejal hendaklah dikira berdasarkan jumlah berat sebenar iaitu jumlah berat yang diambil di stesen penerima Pulau Burung, dan bukannya Ampang Jajar, yang menyebabkan MPSP terlebih bayar RM222,880 dalam tempoh 21 bulan tersebut. Walau bagaimanapun, tindakan pantas pihak Majlis menandatangani perjanjian baru dengan pihak kontraktor pada 24 Disember 2009 yang menyatakan bahawa berat hanya akan diambil di Pulau Burung bukan sahaja telah menyelesaikan masalah terlebih bayar malah mendapat pujian daripada Ketua Audit Negara bahawa tindakan Majlis adalah betul dan tepat.

19. Atas nasihat pihak Audit juga, Majlis diminta untuk menuntut kembali jumlah yang terlebih bayar ataupun membuat pemotongan bayaran kepada kontraktor memandangkan kontraktor pemindahan sisa pepejal merupakan kontraktor yang sama sehingga sekarang. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri akan bertindak untuk menuntut balik wang yang terlebih bayar sebanyak RM222,880 tersebut dalam masa yang terdekat ini, dengan cara yang telah dipersetujui oleh Majlis selepas perbincangan dengan syarikat Kontraktor.

20. Tambahan pula rundingan semula dengan pihak kontraktor telah membolehkan kos dikurangkan lebih 40% dan menjimatkan RM33 juta dalam tempoh masa 3 tahun untuk kedua-dua MPPP dan MPSP. Betapa banyak untung yang diperolehi sebelum ini oleh kroni UMNO yang begitu rugikan rakyat. Itulah keberkesanan urustadbir CAT yang membolehkan wang dijimatkan tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan.

21. Di samping itu, sungguhpun MPSP mestilah menjalankan tugas mengikut peraturan maka ia haruslah berlandaskan prinsip kerajaan berjiwa rakyat yang mahu martabatkan rakyat. Oleh itu, saya harap "standard operating procedures(SOP)" yang digunakan untuk tindakan penguatkuasaan mestilah dipatuhi. Di antaranya, adalah notis yang mencukupi, memaklumkan terdahulu ADUN dan wakil rakyat tempatan agar perkara dapatlah dirundingkan, mencadangkan tapak alternatif, bertindak dengan berdisiplin dan budi pekerti serta. Saya percaya warga MPSP bertindak adil kepada semua tanpa diskriminasi dan akan terus berusaha dengan lebih gigih lagi bagi membuktikan bahawa MPSP boleh!

22. Akhir kata saya ingin mengucapkan selamat menjalankan tugas kepada Pemangku Yang DiPertua MPSP dan kepada Ahli-ahli Majlis dan Ketua-ketua jabatan supaya dapat sama-sama memberikan kerjasama terbaik untuk meningkatkan prestasi MPSP.

Sekian, terima kasih.

(0) Comments

Leave a Response

Sayap Parti