Selasa, 2 November 2010

Lim Guan Eng

Lim Guan Eng


Tidak benar sekali dakwaan UMNO bahawa Kerajaan Negeri membayar duit judi sumbangan Kelab Lumba Kuda kpd orang Islam

Posted: 01 Nov 2010 05:40 AM PDT

Kumpulan Wang Amanah Kebajikan membolehkan Kerajaan Negeri menerima sumbangan dari orang awam, syarikat, persatuan dan sebagainya. Kumpulan Wang Amanah Kebajikan mengandungi dua (2) Sub Lejar iaitu Sub Lejar Kebajikan dan Sub Lejar Kemiskinan.

Bagi Sub Lejar Kebajikan, sejak tahun 2004 adalah tidak aktif (dormant) dengan baki berjumlah RM 394,281.20. Sub Lejar ini diaktifkan semula setelah Kerajaan Negeri menerima sumbangan RM 1.5 juta pada 12 Mei 2010 dan RM 0.5 juta pada 23 Julai 2010 dari Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang. Ini menjadikan baki terkumpul sub lejar kebajikan berjumlah RM 2.39 juta sehingga kini. Akaun ini masih tidak digunakan dan wang RM 2.39 juta belum disentuh lagi.

Perlu ditegaskan bahawa sistem perakaunan Kerajaan Negeri mengikut Akta Tatacara Kewangan 1957 yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan. Bukan seperti Kerajaan Persekutuan yang masuk semua hasil cukai judi kepada satu akaun yang kemudiannya digunakan untuk membayar gaji anggota pentadbiran, keagamaan dan pembangunan.

Manakala Sub Lejar untuk Kemiskinan yang diaktifkan pada tahun 2009 mula menerima sumbangan dari individu, syarikat dan Kerajaan Negeri dan sehingga Sept 2010 jumlah sumbangan yang diterima ialah RM 3,450,300.00. Jumlah yang dibelanjakan / pengeluaran kepada penerima bantuan kemiskinan sehingga akhir Sept 2010 ialah RM 3,418,070.00 menjadikan baki Sub lejar kemiskinan berjumlah RM 32,230.00.

Sub lejar kemiskininan inilah yang digunakan untuk membasmi miskin tegar untuk orang Islam dan bukan Islam. Tidak benar sekali dakwaan UMNO bahawa Kerajaan Negeri membayar duit judi sumbangan Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang kepada orang Islam. Inipun disahkan oleh Pegawai Kewangan Negeri Dato' Farizan Bin Darus.

20 JAWATAN BERJAYA DIISI DALAM PERBADANAN BUKIT BENDERA PULAU PINANG

Posted: 01 Nov 2010 05:43 AM PDT

GEORGETOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng hari ini mengumumkan bahawa 20 jawatan dalam Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang telah berjaya diisi selepas sesi pengambilan pertama.

Jawatan-jawatan baru itu diisi berdasarkan iklan yang tersiar dalam portal Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan akhbar-akhbar utama pada bulan Ogos yang lalu. Sebanyak 1098 permohonan telah diterima menerusi iklan jawatan kosong tersebut sebelumdisenarai pendek dan ditemuduga untuk mengisi jawatan tersebut. Selain pengambilan 20 kakitangan baru dalam Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang, 18 kakitangan sedia ada dari Jabatan Keretapi Bukit Bendera yang telah diluputkan telah diserapkan bagi mengisi jawatan berkaitan. Langkah ini sejajar dengan Akta Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang yang telah diluluskan oleh Mesyuarat Dewan Undangan Negeri pada bulan Ogos 2009.

Dalam pengumuman tersebut, YAB Ketua Menteri yang juga merangkap Pengerusi Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang turut melahirkan rasa puas hati dengan pemilihan individu kerana mereka menunjukkan kemampuan dan pengetahuan yang diperlukan untuk menjawat kedudukan masing-masing. Beliau turut mengingatkan bahawa tanggungjawab individu-individu berkenaan adalah melangkaui kedudukan pekerjaan hakiki mereka, sejajar dengan peranan sebagai 'penjaga' Bukit Bendera yang merupakan ikon penting kepada negeri Pulau Pinang.

"Saya merasa sukacita kerana jawatan-jawatan ini dapat diisi dalam jangka masa yang dicadangkan. Ini menandakan Pulau Pinang tidak kurang bakat serta mereka yang berpengetahuan untuk menjawat kedudukan penting dalam kerajaan negeri," kata Ketua Menteri lagi.

"Saya harus mengingatkan mereka, dan sesiapa jua yang bakal diambil nanti bahawa berada dalam Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang bukan sekadar melakukan rutin pekerjaan harian namun memikul tanggungjawab besar dalam melindungi dan memelihara Bukit Bendera seperti cadangan dalam penyata visi Perbadanan," tambahnya lagi.

Dengan pengumuman kakitangan itu, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang dijangka memulakan operasinya pada 1 November 2010. Buat sementara waktu, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang beribu pejabat di 12, Jalan Brown sebelum berpindah ke Stesen Bawah sebaik sahaja tapak berkenaan siap kelak.

FAKTA

Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang

Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang ditubuhkan berikutan kelulusan Enakmen Perbadanan Bukit Bendera 2009 oleh Mesyuarat Dewan Undangan Negeri pada 11 Ogos 2009. Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang ditadbir oleh Lembaga Pengarah yang dipengerusikan oleh YAB Ketua Menteri Pulau Pinang.

Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang mengadaptasi visi berikut untuk Bukit Bendera :

'Sebuah bukit dengan rohnya yang mengikat kita dengan alam sekitar'.

Penyata misi kami ialah "Membangunkan Bukit Bendera menjadi resort bertaraf dunia berasaskan prinsip CAT iaitu Cekap, Akauntabiliti dan Telus serta pembangunan berdaya tahan"

Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang turut meninjau ruang dan peluang untuk membangunkan semula Bukit Bendera berdasarkan konsep kehijauan dan merancakkan kehidupan. Semua rancangan untuk membangun semula Bukit Bendera perlu berdasarkan kepada pemuliharaan dan pengekalan prinsip-prinsip yang melindungi flora dan fauna, lanskap serta struktur warisan yang ada di Bukit Bendera. Sejajar dengan visi kerajaan negeri untuk menambah baik warisan semulajadi dan alam sekitar untuk manfaat penduduk sekitarnya dan menarik pengunjung dari serata dunia.

Jawatan yang diisi dalam pengambilan pertama :

1. Pengurus Operasi – 1 jawatan
2. Pengurus Pemasaran & Promosi – 1 jawatan
3. Pengurus Penyelidikan & Pembangunan – 1 jawatan
4. Pegawai Pentadbiran – 1 jawatan
5. Pembantu Jurutera (Mekanikal) – 10 jawatan
6. Juruteknik (mekanikal) – 1 jawatan
7. Pembantu Akauntan – 1 jawatan
8. Pengendali Mesin Elektrikal – 1 jawatan

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi :

Puan Sharidah Talib
Jabatan Pemasaran dan Promosi
Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang
Tel : 04-2288861
Email : sharie.phc@gmail.com / sharidah@pdc.gov.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan